Powered By Blogger

macam2

Saturday, January 2, 2010

hulagu khan..

25 Ramadhan 658H (3 September 1260M) – Perang Ain Jalut
Isnin, 22 September 2008 00:25
Di 10 hari yang terakhir dalam bulan Ramadhan, kita sering diingatkan dengan satu malam, iaitu malam yang menyamai 1000 bulan. Pastinya akan muncul ramai pemburu- pemburu Lailatul Qadar di 10 malam yang terkahir ini. Barangsiapa beribadah pada malam tersebut, maka akan tercatit amalannya seumpama dia membuat amalan selama 1000 bulan, Maha Agung dan Maha Kasihnya Allah yang tiada tuhan selainnya menganugerahkan hadiah sebegini untuk diraih oleh umat Muhammad. Semoga kita semua melipatgandakan amalan kita di penghujung Ramadhan ini dan seterusnya pada bulan – bulan yang lain. Kali ini, kami ingin mengajak para pembaca sekalian , agar sama- sama mengimbas kembali sejarah generasi terdahulu dimana hidup mereka penuh dengan amalan kebaikan dan tunduk patuh kepada perintah Allah. Mereka melakukan kewajipan jihad, sebagaimana mereka melaksanakan kewajipan berpuasa di bulan Ramadhan.

Apa yang ingin kami kongsikan disini kali ini ialah tentang satu peristiwa yang agung dalam peradaban Islam. Peristiwa di mana umat Islam bersatu menentang tentera Tartar dari Mongolia dan mengalahkan mereka. Kebanyakan ahli sejarah berpendapat bahawa perang ini merupakan satu titik perubahan (turning point) bagi kebiadapan dan kerakusan tentera Mongol yang menghabisi segala apa yang mereka lalui dari timur ke barat dan akhirnya kemaraan mereka ditamatkan oleh tentera- tentera Allah di Ain Jalut.

Hulagu Khan, pewaris tahta Gengis Khan

Empayar Mongol diasaskan oleh Genghis Khan pada abad ke-13 M. Genghis Khan bercita- cita untuk meluaskan empayarnya dari timur ke barat dan meranapkan apa sahaja yang menghalang mereka dari mencapai cita- cita tersebut. Kempen invensi mereka bermula dengan menakluki beberapa negara di sekitar Mongolia dan mereka terus mara ke sebelah timur yang dikuasai oleh umat Islam. Malangnya cita- cita Genghis Khan untuk melihat empayarnya terbentang luas dari timur ke barat tidak kesampaian apabila nyawanya telah dicabut oleh Allah, setelah beliau jatuh dari kuda tunggangannya. Namun begitu, pada 1251M, Hulagu Khan iaitu cucu kepada Genghis Khan setelah dilantik menjadi pewaris takhta empayar Mongol, berjanji untuk meneruskan cita- cita datuknya untuk menguasai seluruh penjuru dunia.

Untuk merealisasikan impian ini, Hulagu Khan mengumpul kekuatan tenteranya di Asia Tengah selama 2 tahun sebelum melancarkan serangan ke atas umat Islam yang bernaung di bawah keKhilafahan Abasiyyah. Pada tahun 1253M, hulagu Khan mula melakukan ekspedisi penaklukan ke atas wilayah Khilafah Abasiyyah. Tentera yang telah menakluk 200 kota dalam masa hanya 2 tahun ini dan mampu bergerak sejauh 100 batu dalam masa satu hari serta memiliki peralatan peperangan yang canggih, hasil daripada invensi jurutera- jurutera perang mereka, akhirnya telah berjaya menusuk masuk ke jantung Khilafah Abasiyyah. Akhirnya pada tahun 1258M, Baghdad, iaitu ibu kota Khilafah Abasiyyah jatuh ke tangan tentera Tartar.

Kejatuhan Baghdad & Surat Hulagu Khan

Kejatuhan Baghdad merupakan satu peristiwa yang sangat tragis dalam sejarah umat manusia. Setelah berjaya mengalahkan tentera- tentera Khilafah, tentera Monggol dengan biadapnya membunuh seramai 1.8 juta kaum muslimin yang berada di kota Baghdad. Juga tidak ketinggalan, Khalifah umat Islam turut dibunuh dengan kejam. Selama 3 tahun setengah, umat Islam hidup tanpa Khalifah. Ada ahli sejarah menukilkan bagaimana si Hulagu Khan ini melakukan pembunuhan terhadap khalifah dengan cara memasukkan khalifah di dalam gulungan permaidani dan memijak dengan kudanya. Tidak cukup dengan itu, tentera Tartar yang biadap ini memusnahkan banyak kitab- kitab karangan cendiakawan- cendiakawan di Baghdad dengan mencampakkannya ke dalam laut sehingga air laut bertukar kehitaman akibat banyaknya kitab- kitab tersebut.

Hulagu Khan tidak berhenti di sini sahaja. Setelah berjaya menakluki Baghdad, dia mengutuskan deligasi Mongol ke Mamluk Mesir, iaitu Sultan Muzaffar Saifuddin Qutuz. Deligasi ini datang dengan membawa surat dari Hulagu Khan. Surat Hulagu Khan ini berbunyi :

Dari Raja Segala Raja di Timur dan Di Barat, Khan Yang Agung Kepada Qutuz si Mamluk yang lari dari pedang-pedang kami!

Kamu seharusnya berfikir mengenai apa yang telah berlaku ke atas negara-negara yang lain dan menyerah kepada kami. Kamu telahpun mendapat khabar berita bagaimana kami telah menawan empayar yang begitu besar, menyucikan bumi ini dari kerosakan yang mencacatkannya. Kami telah menawan kawasan yang luas dan membunuh semua manusia dengan kejam. Kamu tidak akan terlepas dari kerakusan dan kekejaman tentera kami!

Ke mana lagi kamu ingin lari? Jalan mana lagi yang kamu akan gunakan untuk melepaskan diri dari kami? Kuda-kuda kami berlari kencang, anak-anak panah kami tajam, pedang-pedang kami bagaikan guruh yang menakutkan, hati-hati kami keras bagaikan gunung ganang, askar-askar kami banyak tak terbilang. Benteng-benteng kukuh tidak akan dapat menghalang kami, senjata-senjata tidak akan dapat membendung kami. Doa kamu tidak akan membawa apa-apa pengertian ke atas kami. Kesedihan dan ratapan tidak kami pedulikan. Hanya mereka yang merayu untuk perlindungan kami akan selamat.

Bersegeralah dalam membalas surat ini sebelum api peperangan bermula. Jika kamu melawan, maka barang pasti kamu akan menderita dan tersiksa dengan kehancuran yang dahsyat. Kami akan menghancurkan masjid-masjid kamu dan mendedahkan kelemahan Tuhan kamu. Kemudian kami akan membunuh anak-anak kamu dan orang-orang tua di kalangan kamu.

Kini, hanya kamulah satu-satunya musuh yang perlu kami hadapi.

Setelah menerima surat tersebut, Saifuddin Qutuz tidak gentar sedikitpun. Malah beliau dengan berani menempelak deligasi tersebut dan membunuh mereka dan kepala mereka di gantung di pintu kota Mesir. (Nota : Islam tidak membenarkan membunuh deligasi asing yang diutuskan. Kebanyakan ahli sejarah menyatakan bahawa tujuan kedatangan deligasi tersebut bukanlah sekadar menghantar surat Hulagu Khan semata- mata, tetapi telah bertindak sebagai mata- mata tentera Tartar).

Maranya Tentera- Tentera Allah

Saifuddin Qutuz mula mengumpulkan tenteranya dan akhirnya tenteranya mencecah seramai 20 000 orang tentera. Mereka telah bermesyuarat dan akhirnya mereka memutuskan untuk meyerang tentera Mongol di luar kota Mesir iaitu melakukan tindakan offensif terhadap tentera Mongol. Tentera- tentera Allah ini mula bergerak ke luar kota Mesir menuju ke arah Palestin dan bertembung dengan tentera Tartar yang diketuai komandernya, Kitbuqa di Ain Jalut. Maka berlakulah peperangan yang amat dahsyat antara kedua- dua belah pihak. Semasa peperangan sedang sengit berlaku, Saifuddin Qutuz membuka topeng besinya dan menunggang kuda menuju ke tengah medan pertempuran dan memberi motivasi kepada tenteranya agar berjuang habis- habisan dan memburu syurga Allah. Beliau bertakbir beberapa kali dan terus meluru ketengah- tengah musuh.

Semasa perang Ain Jalut, isteri Sultan Saifudin Qutuz, iaitu Jullanar turut menyertainya. Ketika Jullanar sedang nazak, Saifudin Qutuz memapahnya dan berkata : ”Wahai Kekasihku”. Jullanar membalas dengan berkata : ”Wahai Saifuddin, lebihlah kasih kamu terhadap Islam”. Setelah itu, Saifuddin Qutuz terus mara ke medan tempur dan akhirnya pada hari Jumaat, 25 Ramadhan 658H, bersamaan dengan 3 September 1260M tentera- tentera Allah ini telah memperoleh kemenangan ke atas tentera Tartar di Ain Jalut. Tentera Tartar yang tidak pernah terkalahkan ini (sekiranya kalah dibeberapa medan perang, mereka akan mampu menebus balik kekalahan mereka), akhirnya tersungkur dihadapan mata pedang kaum muslimin dan tidak mampu menebus kembali kekalahan mereka di Ain Jalut.

Khatimah

Apa yang ingin kami bingkiskan disini bukanlah hanya peristiwa sejarah semata- mata. Tetapi yang lebih utama ialah supaya kita semua mengambil ibrah (pengajaran) daripada peristiwa yang berlaku. Sekiranya Sultan Muzaffar Saifuddin Qutuz bersama- sama dengan tenteranya sejumlah 20 000 orang mara kehadapan menentang satu ketumbukan tentera yang tak pernah kalah di bulan Ramadhan, sepatutnya ia sudah cukup memberi isyarat kepada kita bahawa bulan Ramadhan bukanlah bulan yang hanya semata- mata bulan ruhiyyah semata- mata, tetapi juga merupakan bulan siyasah (politik). Ketaatan dan kepatuhan kita menunaikan ibadah puasa sepatutnya sama dengan kepada ketaatan dan kepatuhan kita untuk melaksanakan seluruh ajaran Islam, termasuklah jihad dalam menghadapi musuh- musuh Allah.

Dalam menghadapi musuh- musuh Allah ini, sudah pastinya kita memerlukan satu kekuatan yang amat padu dari segenap aspek dan satu perpaduan yang amat utuh yang lahir dari aqidah yang satu iaitu Islam. Umat Islam yang kira- kira seramai 1.6 billion merupakan sumber tenaga manusia yang sangat besar. Sekiranya sumber- sumber ini disatukan dan difokuskan oleh seorang Khalifah, pastinya akan menghasilkan satu kekuatan besar dan peradaban Islam yang sangat agung. Ini bukanlah satu dongengan dan omong- omong kosong semata- mata, tetapi sejarah telah membuktikan hasilnya. Umat yang satu ini, pastinya akan mampu memakmurkan muka bumi ini sekiranya Islam diterapkan ditengah- tengah kehidupan mereka. Islam dijadikan ideologi dan menjadi penggerak kepada seluruh tindak tanduk umat yang satu ini dan bukannya dengan ideologi selainnya. Akhir sekali, kami berharap semoga Ramadhan kali ini merupakan Ramadhan terakhir bagi umat Islam meyambutnya tanpa adanya Khilafah. Allahu Akbar!

No comments:

Post a Comment